BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday 6 July 2011

Sekalung Bicara

      
NHH Cekal Enterprise merupakan salah satu premis perniagaan yang menjalankan perniagaan pemprosesan makanan hasil laut iaitu cincalok, pelbagai jenis belacan dan ikan kering. NHH Cekal Enterprise telah mula beroperasi pada 1 Jun 2006 di alamat No.5, Rumah Kedai Projek Pertumbuhan Desa, Taman Industri Kecil Sederhana, Ayer Pa'abas, 78000 Alor Gajah, Melaka.
          Sejarah awal perusahaan projek ini bermula dari ibu mertua pengusaha yang telah mengusahakan projek ini lebih 20 tahun yang lalu secara kecil-kecilan dan menjurus kepada pasaran tempatan. Sebelum menceburkan diri dalam bidang ini pemilik iaitu En. Hassan bin Jidin yang berusia 40 tahun telah berkecimpung dalam bidang mekanikal "specialist" dalam membaiki kenderaan pacuan empat roda. Namun setelah bernikah dengan isterinya bernama Nor Hashimah binti Hj. Hassan beliau telah melihat peluang yang besar dalam perusahaan yang diusahakan oleh ibu mertuanya. Disinilah tumbuhnya minat untuk beliau membantu dan mengembangkan pasaran produk yang diusahakan oleh ibu mertuanya itu.
          Pada mula menjejakkan kaki dalam bidang ini, beliau masih lagi mengusahakan bengkel kereta yang telah diusahakannya, namun memandangkan masa yang tidak mengizinkan dan terkejar-kejar untuk menjalankan dua perniagaan serentak dan ditambah pula permintaan yang tinggi terhadap produk hasil laut, maka beliau terpaksa memilih untuk melepaskan salah satu minat beliau iaitu antara bengkel kereta ataupun perusahaan hasil laut. Melalui perbincangan dengan keluarga dan perancangan yang teliti, beliau memilih untuk meneruskan perusahaan hasil laut dan terpaksa melepaskan bengkel keretanya yang telah diusahakan sejak beberapa tahun.
          Kini, setelah menjangkau hampir 5 tahun mengusahakan projek hasil laut ini, pasaran syarikat NHH Cekal Enterprise telah menjangkau ke merata tempat di selatan Semenanjung Malaysia juga menjadi pembekal tetap kepada salah sebuah Syarikat Katering di Mekah. Projek ini telah mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan Malaysia dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Pelbagai bantuan dari segi latihan dan promosi telah diikuti oleh pihak syarikat dalam memajukan dan memperkenalkan produk kepada masyarakat. Syukur, sehingga kini dengan berbekalkan Sijil Halal yang telah dimiliki oleh syarikat memudahkan proses pemasaran dilakukan. Masyarakat terutamanya golongan peniaga kedai runcit, pasaraya, pasar tani, pemborong mahupun pengedar mengakui mudah untuk memasarkan produk keluaran NHH Cekal Enterprise.
          Sehingga kini produk syarikat NHH Cekal Enterprise telah dipasarkan di sekitar Selangor, Negeri Sembilan, beberapa tempat di Pahang dan sudah pasti di sekitar Negeri Melaka.Pelbagai jenis produk hasil keluaran syarikat ini yang boleh didapati dipasaran seperti cincalok, belacan keping, belacan bakar, belacan serbuk, belacan kepal, belacan kilo, ikan kering dan geragau kering. semua produk hasil keluaran syarikat ini mempunyai keistimewaan tersendiri dan yang penting 100% bahan yang dibuat dari udang geragau atau dikenali juga sebagai udang baring atau udang kara. Jadi khasiat protein yang tinggi dan kualiti produk tidak boleh disangkal lagi.
          Produk-produk yang dihasilkan oleh syarikat ini sesuai digunakan sebagai bahan penambah perisa segala jenis masakan contohnya sebagai perencah gulai, perencah sayuran dan boleh juga dijadikan perencah menggoreng telur dan sebagainya. Untuk keterangan lanjut mengenai masakan yang sesuai digunakan sila klik pada ruangan resepi masakan berasaskan cincalok dan belacan yang terdapat pada sisipan lama ini.
          Justeru itu, kami menyeru kepada semua pembaca yang ingin menambah pendapatan untuk menjadi pengedar silalah berhubung dengan kami dan kami sedia membantu dari aspek pemasaran. kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengguna yang setia dengan produk kami. Kami memberi jaminan bahawa mutu dan kualiti produk akan sentiasa dipantau dan dijaga.
          Akhir kata, sokonglah produk keluaran tempatan dan pilihlah yang berkualiti dan dijamin HALAL kerana mencari yang Halal adalah Sunnah Rasulullah...

0 ulasan: